Friday, May 20, 2011

Kematangan di usia 20tahun.

Salam penghulu hari buat semua..  Saya  berharap para pembaca dalam keadaan sihat walafiat hendaknya. InsyaAllah. Hari ini saya ingin membawa isu berkenaan kematangan, sahabat, dan jodoh. Isu ini saya pilih bersempena umur saya yang kian meningkat satu angka dari 19 tahun ke 20 tahun.

Ini lah kek bersempena hari kelahiran saya yang ditempah khas oleh abang ipar.

Baru-baru ini, genaplah usia saya 20 tahun dan genaplah 4 tahun pemergian ayahanda tercinta. Semoga roh ayahanda dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solehin. Secara tidak langsung, sudah 20 tahun saya hidup dimuka bumi ini. Walaupun 20 tahun merupakan jangka masa yang pendek, saya sudah mula belajar erti kehidupan.

 Bila diimbas kenangan zaman kanak-kanak, saya seakan tidak percaya bahawa saya sudah pun menjadi dewasa. Dewasa dan kematangan, memang berkait rapat. Kebiasaan masyarakat Melayu mengatakan apabila dewasanya seseoorang itu maka matanglah pemikirannya. Secara jujur saya kurang setuju dengan pendapat ini. Pada saya kematangan  seseorang itu tidak dinilai mengikut peringkat umurnya.  Malah kematangan seseorang itu bergantung kepada luasnya pengetahuan atau pergaulannya.
                                                             
                                                       Zaman kanak-kanak adalah zaman yang paling riang.

Maksud saya bukanlah dengan bergaul dengan persekitaran yang negatif, menandakan seseorang itu matang. Pada saya, sebagai individu yang matang pemikirannya kita perlulah bergaul dengan ramai orang. Tidak kira daripada kelompok mana pun, dan bukannya duduk dalam satu kelompok sahaja. Apabila , tidak bercampur dengan mereka yang punya masalah kehidupan, kita hanya tahu menyalahkan mereka tanpa mengambil tahu punca mereka mempunyai masalah.

Saya membawa contoh  begini, saya mempunyai seorang kenalan ‘pengkid’. Saya yakin kalian tahu apakah definisi ‘pengkid’ sebenarnya. Sebulan yang lalu saya berkenalan dengan beliau. Saya keliru tidak tahu ingin memanggil akak atau abang. Menuruti jejak langkah kawan baik saya, saya memanggilnya akak. Perkenalan singkat kami membawa kepada persahabatan. Selama ini saya tidak pernah tahu mengapa ada golongan ini. Sehinggalah berkenalan dengan beliau. Kini, saya faham masalahnya. Kami akan cuba membantu sedaya mungkin, dan saya juga ingin kalian tahu bahawa saya sangat berfikiran terbuka berkawan dengan siapa-siapa pun.  Kita semua adalah manusia yang diciptakan tidak sempurna. Saling bantu-membantu bekerjasama tiada salahnya bukan.

Mesej yang ingin saya sampaikan adalah, usah disisihkan mereka yang mempunyai kekurangan dari segi apa pun. Jika bukan kita yang melengkapkan mereka, siapa lagi yang bakal hadir membantu mereka. Orang yang berfikiran matang akan sentiasa mencari jalan keluar kepada masalah mereka dan bukan hanya dengan memandang dan membiarkan ia terus berlalu. Mohon maaf sekiranya ada yang tidak bersetuju dengan pendapat saya, ini hanyalah pendapat dari diri saya sendiri. Saya yakin setiap orang mempunyai pendapat sendiri dan ia nya sentiasa berbeza-beza.

Berkenaan isu kedua saya, iaitu persahabatan. Kata-kata imam Syafie ‘Sahabat yang baik adalah seiring denganku dan menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas mati. Kuhulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan kerana aku akan merasa senang. Semakin ramai sahabat, semakin aku percaya pada diri. Aku selalu berharap mendapat sahabat sejati yang tidak luntur baiknya dalam suka dan duka. Jika aku dapat, aku akan setia padanya.’

Hargailah persahabatan itu kerna Allah.

Lanjutan kisah itu, saya ingin para pembaca menghargai persahabatan yang terjalin antara diri sendiri dan sesama manusia. Dalam kehidupan 20 tahun yang amat singkat ini saya telahpun berjumpa dengan sahabat yang pelbagai ragam. Benar kata orang, teman ketawa senang dicari, teman menangis tiada disisi.  Namun saya masih bersyukur kerana dalam ramai-ramai sahabat yang saya ada, Allah telah menghantar teman suka dan duka saya sejak 7 tahun lalu. Kami sangat serasi, keluarga nya telah saya anggap menjadi keluarga saya. Hanya dia yang sudi berkongsi segala suka dan duka. Saya juga sentiasa menghargai sahabat-sahabat saya yang ada di sisi selagi saya terdaya, meskipun ada diantara mereka yang mempunyai kekurangan diri. Segala yang kalian lakukan saya terima penuh redha. Saya yakin Allah itu maha mengetahui segalanya dan Allah juga tahu yang terbaik buat diri saya dan kalian. Sedikit perkongsian berkenaan sahabat dalam kehidupan saya hari ini.

Inilah sahabat sejati, suka dan duka saya. Tidak pernah sesaat pun beliau meninggalkan saya. Untuk pengetahuan kalian, beliau kini sedang menjalani latihan praktikal sebagai seorang guru. Semoga segala usaha dan cita-cita nya akan tercapai. InsyaAllah. Berbangga saya mempunyai sahabat sebagai seorang pendidik anak bangsa.
                                        
Membawa isu ketiga iaitu berkaitan jodoh. Ada suara-suara yang bertanyakan tentang hal ini kepada saya bersempena umur yang kian menjangkau ke alam dewasa.Walaupun kadang-kadang hati dihimpit rasa cemburu melihat rakan seusia sudahpun berumahtangga.  Namun, apa yang boleh saya katakan akan tiba masanya nanti saya pasti akan memaklumkan. Buat masa ini banyak yang perlu saya kejarkan.  Saya yakin dengan ketentuan Illahi jodoh saya telahpun ditetapkan, cuma masih menjadi rahsia illahi.

                                            
Hal ini mengingatkan saya kepada ayat ini ‘Jika cinta dalam diamku tidak memiliki kesempatan untuk berbicara didunia nyata, biarkan ia tetap diam kerana Allah punya rencana terbesar untuk hambanya. Jika dia bukan milikku maka dia akan menghapus cinta dalam diamku. Jadi, biarkan cinta dalam diamku itu menjadi memori tersendiri disudut hatimu dan menjadi rahsia antara aku dengan sang pemilik hati, InsyaAllah.’ Saya sukakan kata-kata ini, kredit kepada Ainul Husna iaitu salah seorang teman rapat saya.

Sekian dahulu bagi entry kali ini, InsyaAllah bersua kembali nanti. Mohon maaf sekiranya terkasar bahasa, tersilap bicara. Saya manusia biasa yang tidak lari dari kesilapan. Segala yang baik jadikan panduan dan yang buruk jadikan sebagai tauladan.  Yang baik datangnya dari Allah dan yang buruk dari diri saya sendiri. Salam sayang buat semua para pembaca..

No comments: